KUALA LUMPUR: Persatuan hartanah mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan broker haram yang bertopengkan teknologi dan inovasi.
Gesaan itu dibuat oleh Pertubuhan Juruukur Diraja Malaysia (RISM); Persatuan Penilai, Pengurus Harta, Ejen Harta dan Perunding Harta Swasta Malaysia (PEPS); Persatuan Perunding Hartanah Muslim Malaysia (PEHAM); Institut Pengurus Harta dan Fasiliti Malaysia (MIPFM) serta Institut Ejen Hartanah Malaysia (MIEA).
Dalam kenyataan bersama pada Rabu, semua pertubuhan itu meminta orang ramai supaya hanya berurusan dengan ejen dan firma hartanah yang berdaftar dengan Lembaga Penilai, Pentaksir, Ejen Harta Tanah dan Pengurus Harta (LPPEH) sahaja apabila berurusan dengan mana-mana individu atau pihak yang menjalankan perkhidmatan hartanah merangkumi perkhidmatan penjualan, pembelian, penyewaan, pajakan, pentadbiran penyewaan dan khidmat nasihat.
Ia sebagai peringatan bahawa wujud pihak-pihak yang bukan ejen hartanah tetapi mengendalikan perniagaan agensi hartanah secara haram di samping menggunakan pelbagai bentuk idea kreatif untuk berbuat demikian, menurutnya.
Semua pertubuhan itu menjelaskan perkhidmatan hartanah adalah diwartakan sebagai perkhidmatan profesional di bawah Akta Penilai, Pentaksir Dan Ejen Harta Tanah 1981 atau dikenali sebagai Akta 242 untuk melindungi orang ramai.
“Ini juga untuk memastikan jika pihak lain, selain yang berdaftar, melakukan kerja-kerja sebagai ejen dalam sebarang bentuk atau cara, mereka melakukan satu kesalahan dan boleh didakwa di mahkamah dan dihukum denda tidak lebih daripada RM300,000 dan penjara tidak lebih daripada tiga tahun atau kedua-duanya,” menurut semua persatuan itu.
Semua persatuan itu mengatakan bahawa mereka tidak menentang inovasi dan teknologi sebaliknya mahu memperkukuh pendirian mereka.
“Kita tidak boleh membiarkan mana-mana pihak, sama ada individu atau syarikat dalam sebarang bentuk, yang tidak mematuhi undang-undang tanah sedia ada, di mana ia sesuai dengan amalan ejen hartanah setakat ini,” jelasnya.
Sumber: Berita online
Penafian (Disclaimer)
Artikel yang diterbitkan di ejenhartanah.com adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun kami berusaha memastikan maklumat yang disediakan adalah tepat dan terkini, kami tidak menjamin kesahihan, kelengkapan, atau kebolehpercayaan sebarang kandungan.
Sebarang pandangan atau pendapat yang dinyatakan dalam artikel adalah milik penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi ejenhartanah.com . Pembaca dinasihatkan untuk mendapatkan nasihat daripada pihak berkaitan seperti ejen hartanah berdaftar, peguam, atau institusi kewangan sebelum membuat sebarang keputusan pelaburan atau pembelian hartanah.
Ejenhartanah.com tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kerugian atau kerosakan yang timbul akibat penggunaan maklumat dari portal ini. Sebarang tindakan yang diambil berdasarkan artikel di portal ini adalah atas risiko pengguna sendiri.