Pinda akta ‘lapuk’ tangani pencerobohan tanah kerajaan

  • 4 years ago
  • 0

TANAH kerajaan seluas 4,000 hektar ditanam dengan durian Musang King secara haram di Raub, Pahang terus menimbulkan persoalan sejauh mana kita dapat mengekang isu pencerobohan tanah.

Selepas tindakan tegas diambil pihak berkuasa negeri dengan menebang pokok durian berkenaan, beberapa pihak mewakili parti politik tertentu cuba mengambil kesempatan dan mengganggu tugas berkenaan.

Ada juga kurang berpuas hati dengan cara menebang pokok itu. Mereka mencadangkan ia terus dipelihara dan dijaga sebaik mungkin. Barangkali denda berat perlu dikenakan. Tanaman sudah berbuah hasilnya boleh dijadikan Kawasan Tanaman Berkelompok Durian Secara Komersial ala FELDA.

 

Perlu diingat, Raub mempunyai tahap kesuburan tanah sesuai untuk tanaman durian. Tambahan pula, pengurusan hasil durian dan pemasarannya boleh dikatakan baik serta berkualiti. Apapun, kajian mendalam perlu dijalankan, manakala perundangan berkaitan boleh disemak dan dipinda mengikut keperluan.

 

Dilaporkan juga berlaku pencerobohan tanah di Gunung Inas di Kedah diteroka secara tidak sah. Tanah dicadangkan untuk maksud penempatan semula penduduk miskin, bertukar wajah menjadi tanaman durian luas saujana mata memandang.

Begitu juga tanah kuari tidak diperbaharui permitnya selepas bertahun-tahun di Pengerang, Johor. Tanah di bawah laluan rentas bekalan elektrik yang menjadi milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) diceroboh dan ditanam tebu serta sayur-sayuran. Banyak juga tanah wakaf diceroboh.

Apakah pencerobohan tanah? Di sisi undang-undang, pencerobohan berlaku apabila seseorang melakukan apa-apa tindakan terhadap orang lain, harta, tanah atau hak orang lain secara tidak sah.

Pencerobohan membabitkan kerosakan harta benda dan tindakan boleh diambil pihak berkuasa mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan atau Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965 atau di bawah akta lain berkaitan.

Pencerobohan termasuk pembalakan haram dan kegiatan pelombongan tidak sah di Tasik Chini, Pahang dan kecurian pasir serta pemburuan binatang tanpa lesen.

Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965 menyatakan maksud pencerobohan tanah dengan jelas. Begitu juga peruntukan Seksyen 16 Akta Perhutanan Negara 1904, Akta Taman Negara 1980, Enakmen Taman Negara Pahang 1939, Enakmen Taman Negara Kelantan 1939 dan Enakmen Taman Negara Terengganu 1980.

Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 pula memperuntukkan kesalahan pencerobohan kawasan pemuliharaan hidupan liar di negara ini. Seksyen 19 Akta Penerbangan Awam 1969 memperuntukkan kesalahan menceroboh kawasan lapangan terbang dan sekitarnya, sementara Akta Jalan, Parit dan Tali Air 1974 memperuntukkan denda tidak melebihi RM2,000 bagi kesalahan menceroboh tanah.

Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 juga memperuntukkan kesalahan menjalankan kegiatan memajukan tanah tanpa kebenaran kerajaan.

Pencerobohan tanah juga berlaku bagi tanah Kementerian Pertahanan (MINDEF), selain peruntukan Seksyen 62 Kanun Tanah Negara dan Rizab Tanah Kerajaan Persekutuan, Klausa 66 Rizab Tanah di bawah Perlembagaan Persekutuan serta di bawah Akta Pergerakan Ketenteraan 1983.

Di bawah perundangan ini, sebanyak 16 bidang tanah kerajaan dengan keluasan kira-kira 500,000 hektar diceroboh di seluruh negara.

Pencerobohan juga berlaku apabila penanaman pokok dilakukan secara haram, pembinaan struktur bangunan, rumah setinggan, tempat ibadat dan pembalakan haram.

Jelas sekali kegiatan pencerobohan seperti ini mengganggu keselamatan, merosakkan harta benda dan menyebabkan kerugian jutaan ringgit.

Tindakan mengusir penceroboh dan membasmi pencerobohan membabitkan tempoh lama dan kos besar. Namun, mereka yang berminat boleh memohon permit atau menyewa serta memajak tanah berkenaan melalui prosedur yang ada untuk penggunaan tanah secara sah di sisi undang-undang.

Walaupun terdapat banyak perundangan berkaitan pencerobohan, tindakan penguatkuasaan diambil pihak berkuasa agak terhad dan mengambil masa lama.

Tindakan penguatkuasaan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965 memperuntukkan denda sebanyak RM500,000 dan penjara selama lima tahun atau kedua-duanya sekali, nampaknya seolah-olah kurang berkesan.

Buktinya, kegiatan menceroboh tanah di Cameron Highlands dan di tempat lain terus berleluasa. Begitu juga tindakan pengusiran dan remedi tanah kerajaan di Raub yang ditanam durian Musang King secara tidak sah baru-baru ini.

Tindakan diambil kerajaan Pahang di bawah Seksyen 47 Akta Perhutanan Negara 1984, hanya sekadar denda RM10,000 atau penjara selama tiga tahun atau kedua-duanya sekali. Malangnya, mahkamah menolak dakwaan kes pencerobohan ini atas alasan tiada locus standi.

Bagaimanapun, perintah mahkamah hanya membabitkan kawasan tertentu. Nampaknya perintah dikeluarkan disalah tafsir pihak tertentu untuk kepentingan mereka bagi menghalang tindakan dijalankan pihak berkuasa.

Dari satu sudut, tindakan penguatkuasaan dijalankan pihak berkuasa membabitkan kakitangan kurang terlatih, peralatan serba kekurangan dan masa terhad dibandingkan penceroboh tanah serba lengkap dengan peralatan canggih serta licik.

Penguatkuasaan juga memerlukan bantuan daripada agensi lain berkaitan seperti polis dan marin. Penceroboh akan memasuki kawasan hutan pada waktu sesuai seperti malam hari atau membawa keluar pasir tanpa permit pada awal Subuh menyukarkan pihak berkuasa menghalang mereka.

Penceroboh juga mempunyai peralatan canggih seperti traktor dan jentolak berkuasa tinggi untuk melakukan pembalakan haram. Lebih malang ada kakitangan kerajaan dan ahli politik licik serta mengambil rasuah.

Justeru, kerajaan disyor mengkaji semula peruntukan undang-undang yang ada supaya selaras dan sesuai dengan perkembangan alam siber dan teknologi semasa begitu canggih serta boleh disalahgunakan untuk maksud menceroboh tanah.

Begitu juga tindakan penguatkuasaan dan remedi supaya selaras keperluan semasa.

Penting sekali untuk disemak semula, dipinda atau diharmonikan peruntukan undang-undang yang sudah lama dan ketinggalan dengan arus perkembangan semasa.

Penulis adalah Presiden Pertubuhan Profesional Tanah Malaysia (PERTAMA) dan Pensyarah Hartanah di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

 

Sumber :- Berita Harian Online

Oleh Prof Dr Ismail Omar – Julai 26, 2021 @ 11:30am

Join The Discussion

Compare listings

Compare
Verified by MonsterInsights