PROSEDUR FARAID DAN PEMBAHAGIAN HARTA PUSAKA BAGI ORANG ISLAM

  • 4 years ago
  • 0

Di bawah ini disenaraikan prosedur ringkas berkenaan apa yang anda perlu lakukan selepas berlaku kematian seseorang yang memiliki harta yang perlu dibahagikan:-

PROSES AWALAN

  1. Pertamanya, lantiklah dulu seorang atau dua orang Pentadbir dari kalangan ahli waris si mati yang dipersetujui oleh semua waris untuk mengambil tanggungjawab membuat pembahagian ini. Jika tiada ahli waris yang sudah dewasa atau tiada ahli waris yang dipersetujui untuk dilantik sebagai Pentadbir, maka lantiklah mana-mana orang lain yang tidak mewarisi tetapi dipersetujui untuk dilantik oleh ahli waris, contohnya seorang pemegang amanah atau seorang peguam. Perlantikan Pentadbir sangat penting kerana dialah yang perlu membuat permohonan Sijil Faraid (jika Pentadbir adalah juga ahli waris) dan hanya dialah yang boleh menjual atau membahagikan hartanah bagi pihak si mati, mengeluarkan duit si mati dari syarikat insurans, bank, KWSP dan pelbagai institusi lain setelah Pentadbir tersebut mendapat surat kuasa mentadbir.
  2. Pentadbir hendaklah mengenalpasti KESEMUA waris yang ada yang layak mewarisi harta si mati. Waris-waris tersebut hendaklah masih hidup pada masa si mati meninggal dunia. Sekalipun waris tersebut meninggal sebelum harta sempat dibahagikan secara sempurna, waris itu masih berhak kepada bahagiannya dalam faraid, dan bahagian tersebut akan dibahagikan pula kepada ahli waris kepada waris yang meninggal tersebut. Jika si mati itu seorang lelaki, pastikan si mati tidak mempunyai lebih dari seorang isteri kerana kadangkala si mati merahsiakan perkahwinan poligami beliau dan tidak mendaftarkannya. Jika ada isteri lain dan anak-anak hasil perkahwinan tersebut, mereka semua juga layak mewarisi harta si mati tersebut DENGAN SYARAT perkahwinan yang tidak didaftarkan di Malaysia dibuat pendaftarannya terlebih dahulu dan status anak-anak tersebut diiktiraf sebagai anak si mati. Jika proses ini masih belum selesai, maka hendaklah permohonan faraid ditangguhkan sehingga pengenalpastian semua waris diselesaikan, termasuklah sehingga permohonan pengesahan nikah dan nasab anak selesai dibuat.
  3. Pentadbir ini juga hendaklah mengenalpasti KESEMUA harta milik si mati, buatlah siasatan dengan membuat carian di bank negara untuk mengetahui akaun-akaun bank milik si mati dan hutang-hutang bank yang ada, Pentadbir juga boleh bertanya kepada ahli waris yang mengetahui tentang harta dan hutang si mati, buatlah carian di pejabat tanah, carian di Amanah Saham, KWSP, Tabung Haji, bertanya kepada majikan di tempat si mati bekerja, bertanya kepada syarikat-syarikat insurans dan mana-mana lagi tempat yang dirasakan ada menyelenggara harta milik si mati atau mempunyai pengetahuan akan harta dan/atau hutang si mati.
  4. Bagi harta yang telah diberikan penama sebelum si mati meninggal dunia, contohnya duit simpanan KWSP dan duit simpanan Tabung Haji, Pentadbir hendaklah meminta penama tersebut mengeluarkan duit dari institusi berkenaan dan menyerahkannya kepada Pentadbir untuk dibahagikan secara faraid kerana duit tersebut WAJIB difaraidkan melainkan si mati pernah secara jelas dan nyata samaada melalui saksi atau melalui dokumen mengatakan bahawa wang di dalam akaun tersebut dihibahkan atau dihadiahkan kepada penama atau kepada orang tertentu.
  5. Setelah mengenalpasti kesemua harta dan waris si mati, maka Pentadbir hendaklah memfailkan permohonan sijil faraid di mahkamah syariah yang berdekatan dengan menyertakan salinan surat beranak setiap waris (untuk menunjukkan hubungan kekeluargaan) dan salinan kad pengenalan. Juga sertakan juga dokumen berkenaan harta-harta si mati seperti geran tanah, penyata akaun, dan sebagainya.
  6. Permohonan sijil faraid di mahkamah syariah boleh dibuat sekalipun hutang masih belum selesai dilangsaikan kerana kadangkala ahli waris tiada wang untuk melangsaikan kesemua hutang si mati, contohnya seperti pinjaman perumahan. Dalam hal ini, hendaklah disegerakan permohonan sijil faraid agar boleh diteruskan dengan pelantikan Pentadbir dan seterusnya harta-harta si mati boleh dijual untuk melangsaikan hutangnya, kemudian bakinya barulah difaraidkan.
  7. Sijil faraid ini hanya untuk mengenalpasti kesemua waris yang ada dan pembahagian yang perlu dibuat kepada setiap orang yang diiktiraf sebagai waris, oleh itu, permohonan sijil faraid hanya patut ditangguhkan jika ada masalah mengenalpasti waris sahaja. Selain dari itu, hendaklah permohonan ini diteruskan tanpa lengah. Tambahan pula, permohonan mengeluarkan surat kuasa mentadbir di Mahkamah Sivil (jika harta melebihi 2 juta atau harta tanpa tanah) tidak sepatutnya dibuat melebihi tempoh 3 tahun selepas kematian, jika lebih, maka penjelasan perlu diberikan kepada Mahkamah.

 

LANTIKAN PENTADBIR

  1. Dapatkan Sijil Faraid dari Mahkamah Syariah terdekat dengan tempat tinggal si mati atau tempat tinggal Pentadbir. Jika harta melebihi takat jumlah tertentu, kes tersebut akan dirujuk ke Mahkamah Tinggi Syariah terdekat. Ikutlah prosedur yang diberikan oleh Mahkamah. Mahkamah akan memanggil saksi-saksi yang mengetahui berkenaan kematian si mati dan waris-waris si mati. Oleh itu, pastikan semua isu berkenaan ahli waris sudah selesai pada masa permohonan mendapatkan sijil faraid dibuat, dan semua dokumen pengenalan diri ahli waris sudah didapatkan. Jika ada ahli waris yang tidak dapat dicari lagi, maka maklumkan saja kepada Mahkamah. Mahkamah akan memberikan perintah sewajarnya. Permohonan Faraid boleh dibuat tanpa Peguam Syarie, tetapi jika mampu, eloklah mendapatkannya untuk memudahkan urusan mengumpulkan dokumen yang diperlukan dan tidak perlu turun naik Mahkamah berulang kali.
  2. Setelah mendapat Sijil Faraid, jika harta si mati ada melibatkan tanah atau rumah atau apa-apa hartanah lain seperti hartanah komersil dan sebagainya, DAN jumlah KESELURUHAN harta si mati termasuk wang tunai, barang kemas, KWSP, saham, dan semua harta lain TIDAK melebihi nilai RM 2 juta ringgit, maka permohonan surat kuasa mentadbir perlu dirujuk ke Pejabat Pesaka Kecil di Pejabat Tanah yang menguruskan hartanah tersebut. Mereka akan mengendalikan proses mengeluarkan surat pentadbir termasuklah untuk membuat pembahagian harta lain seperti wang tunai, saham dan harta-harta lain tersebut. Prosiding di pejabat tanah tidak memerlukan khidmat peguam tetapi masih boleh melantik peguam jika ingin memudahkan urusan suratcara, pemfailan dokumen, pengurusan kes dan sebagainya.
  3. Namun, sekiranya harta si mati ada melibatkan tanah atau rumah atau apa-apa hartanah lain seperti hartanah komersil dan sebagainya, DAN jumlah KESELURUHAN harta si mati termasuk wang tunai, KWSP, saham, dan semua harta lain MELEBIHI nilai RM 2 juta ringgit, maka permohonan surat kuasa mentadbir perlu dirujuk ke Mahkamah Tinggi Sivil terdekat dengan tempat kematian si mati atau tempat mastautin Pentadbir yang memohon. Untuk prosedur di Mahkamah Sivil memerlukan khidmat peguam.
  4. Jika harta si mati TIDAK melibatkan tanah atau rumah atau apa-apa hartanah lain seperti hartanah komersil dan sebagainya, maka TIDAK KIRA samaada jumlah KESELURUHAN harta si mati termasuk wang tunai, KWSP, saham, dan semua harta lain melebihi atau tidak melebihi nilai RM 2 juta ringgit tetapi TIDAK KURANG dari RM 600,000.00, perkara ini hendaklah juga dirujuk ke Mahkamah Tinggi Sivil terdekat dengan tempat kematian si mati atau tempat mastautin Pentadbir yang memohon. Untuk prosedur di Mahkamah Sivil memerlukan khidmat peguam. Ini kerana, Pejabat Tanah hanya ada kuasa mentadbir sekiranya ada hartanah yang terlibat dalam aset si mati sahaja.
  5. Manakala jika harta si mati TIDAK melibatkan tanah atau rumah atau apa-apa hartanah lain seperti hartanah komersil dan sebagainya, manakala jumlah KESELURUHAN harta si mati termasuk wang tunai, KWSP, saham, dan semua harta lain TIDAK MELEBIHI nilai RM 600,000, maka perkara ini hendaklah dirujuk ke Amanah Raya Berhad. Golongan aset ini dipanggil sebagai pesaka ringkas.

Berkenaan prosedur untuk setiap satu permohonan pentadbir ini hendaklah dirujuk kepada institusi yang terlibat masing-masing. Bagi urusan di Mahkamah Tinggi, peguam boleh membantu anda. Manakala untuk urusan di pejabat tanah dan Amanah Raya, prosedurnya ada dimaklumkan di pejabat-pejabat yang berdekatan.

Setelah surat kuasa mentadbir tersebut dikeluarkan, bolehlah harta si mati yang tinggal (selepas ditolak hutang, wasiat, harta sepencarian dan sebagainya yang dibenarkan oleh syarak) dibahagikan oleh Pentadbir mengikut pembahagian dalam Sijil Faraid. Hakim yang akan membuat kiraan ini sebelum mengeluarkan Sijil Faraid, tetapi jika ingin mengira sendiri sekadar untuk pengetahuan, bolehlah rujuk di laman web yang menyediakan kalkulator faraid seperti di laman web  www2.esyariah.gov.my

 

 

Join The Discussion

Compare listings

Compare
Verified by MonsterInsights