Seorang memiliki sebidang tanah yang mana kedudukannya dua (2) atau tiga (3) lapis dari jalan.
Ini menyebabkan tuan tanah tersebut terpaksa membuat satu laluan yang mungkin melalui tanah milik orang lain untuk pergi ke tanahnya dan laluan itu digunakan oleh orang awam untuk keluar masuk dari jalan utama ke tanah masing-masing.
Yang menjadi masalahnya kadangkala ada pemilik tanah lapisan hadapan tidak membenarkan penduduk-penduduk lain melalui laluan tersebut atas alasan ia melalui tanah miliknya.
Read Also:  profеssional carpеt clеaning Downham
Jika berlaku situasi di atas, apakah tindakan yang boleh dilakukan oleh penduduk-penduduk yang lain?
1- Semak di pejabat tanah
Sebaiknya elok penduduk-penduduk tersebut membuat semakan di pejabat tanah sama ada kawasan yang tuan tanah hadapan buat halangan itu, adakah termasuk dalam kawasan tanah beliau atau tidak.
Jika bukan dalam kawasan tanah beliau, penduduk boleh buat laporan polis dan laporan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) atas alasan halangan tersebut menyebabkan kacau ganggu terhadap ketenteraman awam.
Walau bagaimanapun, jika benar jalan tersebut dalam kawasan tanah beliau, tindakan dalam item 4 dan 5 di bawah.
2- Semak dengan juruukur
Semak juga dengan juruukur berlesen untuk sahkan ukuran dan keluasan sebenar tanah beliau.
Jika di kawasan yang beliau buat halangan itu bukanlah termasuk dalam tanah beliau, tindakan dalam item 1 di atas juga boleh diambil.
3- Semak adakah digazet sebagai jalan kerajaan
Semak juga dengan pejabat tanah sama ada jalan itu telah digazetkan sebagai jalan kerajaan atau tidak.
Jika sudah digazetkan sebagai jalan kerajaan, tuan tanah tersebut tidak berhak buat halangan di atas jalan itu.
Jika buat halangan juga, penduduk boleh ambil tindakan seperti dalam item 1 di atas.
4- Dapatkan hak ismen
Jika jalan tersebut tidak digazetkan sebagai jalan kerajaan dan disahkan termasuk dalam tanah tuan rumah tersebut, penduduk boleh berbincang dengan tuan tanah itu untuk dapatkan hak ismen (hak lalu-lalang) terhadap laluan tersebut di bawah peruntukan Seksyen 282 Kanun Tanah Negara.
Biasanya hak ismen ini memerlukan pemilik tanah bersebelahan membayar sedikit bayaran sama ada secara bulanan atau tahunan kepada tuan tanah tersebut atas persetujuan bersama kesemua pihak.
Dan setelah dipersetujui bersama, ismen tersebut hendaklah didaftarkan di pejabat tanah.
5- Dapatkan hak LAROW
Jika tuan tanah tersebut tidak bersetuju untuk memberikan hak ismen kepada penduduk lain, penduduk boleh failkan permohonan di pejabat tanah untuk dapatkan hak lalu-lalang pentadbir tanah (LAROW) di bawah peruntukan Seksyen 387 Kanun Tanah Negara.
Pejabat tanah akan panggil tuan tanah tersebut dan wakil penduduk untuk perbincangan/inkuiri.
Pentadbir tanah berhak keluarkan perintah hak lalu-lalang pentadbir tanah (LAROW) melalui tanah tersebut demi kepentingan penduduk awam.
6- Pampasan
Jika perintah LAROW dikeluarkan oleh pejabat tanah, penduduk tanah bersebelahan atau pihak kerajaan tidak perlu bayar sebarang pampasan kepada tuan tanah tersebut.
Ini kerana tanah tersebut masih kekal milik beliau. Ianya hanyalah arahan pejabat tanah kepada tuan tanah untuk membenarkan jalan tersebut digunakan sebagai laluan awam.
Melainkan kerajaan bersetuju untuk ambil tanah tersebut di bawah Akta Pengambilan Tanah, maka kerajaan perlu bayar pampasan kepada tuan tanah tersebut.
7- Cabar di mahkamah tinggi
Sekiranya tuan tanah tersebut tidak berpuas hati dengan perintah LAROW yang dikeluarkan oleh pejabat tanah, beliau boleh cabar di mahkamah tinggi. Dan mahkamah akan putuskan kedudukan sebenar. More